Nampaknya hasrat hati pelakon kacak kelahiran negeri Kelantan untuk meraikan rakyat Kelantan yang menyokong kuat kerjayanya tercapai apabila dia menumbangkan 10 ekor lembu sempena majlis kesyukuran penikahannya dengan Mawar di kampung halaman Fizo di Taman Sri Jawa, Selising, semalam.
Tambah menarik lagi, majlis itu dihadiri oleh Tuan Guru Nik Aziz iaitu mantan menteri besar negeri Kelantan yang begitu disanjungi. Kehadiran Tok Guru itu pastinya menambahkan lagi kemeriaan majlis tersebut kerana secara tidak langsung orang ramai juga turut berpeluang berjumpa dengan Tok Guru.
Fizo atau nama sebenarnya, Wan Hafizol Wan Omar, 28 meluahkan rasa syukur kerana majlis yang dihadiri kira-kira 15,000 tetamu sejurus rombongan keluarga isterinya, Mawar Abdul Rahman, 24 tiba dengan diiringi konvoi motorsikal berkuasa tinggi.
“Alhamdulillah, saya gembira kerana hasrat meraikan orang ramai di tanah kelahiran saya tercapai. Saya berterima kasih kepada semua tetamu yang meluangkan masa ke majlis ini termasuk tetamu kehormat.“Ini tanda terima kasih saya kepada mereka yang selama ini menyokong saya dalam bidang lakonan dan juga menyokong penglibatan saya serta Mawar dalam dunia perniagaan,” katanya.
Pasangan pengantin ini kelihatan sangat anggun dan ceria dengan mengenakan busana berpakaian merah jambu dan tidak jemu melayan tetamu serta peminat sepanjang majlis. Majlis ini juga turut dihadiri oleh penjaga gol bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat dan isterinya yang kini sarat mengandung.