HELLO AND HAVE A NICE DAY
Powered by Blogger.

22 Dec 2013

Temubual Eksklusif Bersama Jackie Chan di Ritz-Carlton Kuala Lumpur


Aktor terkemuka Hollywood, Jackie Chan kembali ke Malaysia bagi mempromosikan filem aksi terbarunya iaitu "Police Story 2013". Kami sempat bertemu dengan 'taiko' seni mempertahankan diri ini ketika sidang media pada 18 Disember lalu di Ritz-Carlton Kuala Lumpur. Jadi ikuti temubual eksklusif bersama Jackie Chan.

Antara filem-filem "Police Story" sebelum ini. Yang manakah kegemaran anda? 
Saya rasa filem "Police Story" pertama merupakan filem kegemaran saya.

Dalam filem "Police Story 2013" anda lebih memberi fokus kepada drama berbanding aksi. Boleh jelaskan kenapa? 
Untuk filem "Police Story 2013" ini saya rasa tidak perlu babak aksi yang lebih berbanding filem "CZ12". Tetapi sekarang ini saya dalam perancangan untuk menghasilkan sebuah filem padat dengan aksi selepas dua filem terbaru saya, "DragonBlade" dan "Skiptrace" selesai. Ia mungkin akan mengambil masa dalam 2 ke 3 tahun kemudian. Sekarang ini saya sedang mengolah skrip filem itu.

Adakah anda akan mengarah filem tersebut?
Ya. Saya akan mengarah filem tersebut dan ia sebuah filem aksi sama seperti "CZ12". Filem Jackie Chan hanya boleh diarahkan oleh saya sahaja. Ini kerana jika anda tanya kepada pengarah lain, mereka akan mengikut apa yang dimahukan oleh penerbit. Macam "CZ12", saya mengambil masa selama setahun setengah untuk menyiapkannya. Babak berlawan di sofa sahaja mengambil masa selama tiga bulan penggambaran. Tiada produksi yang akan membenarkan anda melakukan seperti itu. Oleh itu saya terpaksa mengarah sendiri. Saya bertindak sebagai penerbit, melabur dan saya mahu lakukan dengan terbaik. Filem aksi kini tidaklah sebagus mana, kenapa? Ia adalah kerana pengarah dikawal oleh penerbit. Apabila anda meminta 6 juta atau 10 juta, dan meminta tambahan masa selama sebulan anda tidak akan dibenarkan kerana anda hanya diberikan masa selama 2 minggu sahaja, jadi bagaimana anda mahu hasilkan sebuah filem aksi yang bagus? Ia sangat sukar, oleh kerana itulah apabila ia membabitkan babak aksi besar, saya akan mengarah sendiri. Saya akan mengambil masa secukupnya sama seperti saya mengarah filem "CZ12".

Sebelum ini anda pernah datang ke Malaysia untuk membuat penggambaran di sebuah stesen keretapi untuk filem "Police Story 3". Adakah selepas ini anda akan kembali lagi ke Malaysia untuk penggambaran filem "Police Story" akan datang? 
Hahahah, tanya Michelle Yeoh! Jika beliau beri jawapan ya, maka iyalah. Beliau adalah bos saya (seloroh Jackie).

Pernahkah anda terfikir untuk bekerja dengan pengarah "Drug War" dan "Blind Detective", Johnnie To? 
Ah, kami pernah bercakap tentang mahu berkerjasama sejak beberapa tahun lalu. Saya pernah bertanya kepadanya bila, tetapi beliau berkata, sukar untuk menulis skrip untuk filem saya.

Anda sudah banyak melakukan aksi berbahaya dalam filem-filem anda. Kecederaan apa yang paling teruk pernah anda alami. 
Saya pernah mengalami kecederaan pada tengkorak saya selepas saya terjatuh dari pokok di Yugoslavia ketika penggambaran filem "Armour of God". Saya hampir mati ketika itu.

Tahun lepas anda ada menyatakan bahawa anda mahu hasil sebuah filem muzikal. Jadi apa perkembangan filem tersebut? 
Sekarang ini sudah ada dua syarikat daripada Amerika Syarikat datang ke China untuk berbincang dengan saya. Mereka akan melabur, termasuk penghasilan skrip, pentas dan set design. Ia akan mengambil masa sedikit, tetapi ia akan dihasilkan.

Bagaimana pula dengan "Rush Hour 4"?
Kami baru sahaja habis mesyuarat di L.A bulan lepas dengan Chris Tucker dan dua penulis skrip. Draft skrip pertama saya tidak suka kerana ia membosankan. Saya tahu pihak Warner Bros mahu filem "Rush Hour 4" dihasilkan. Tetapi kami mahu melihat skripnya dahulu.

Akhir sekali, apa pandangan anda mengenai pelakon baru daripada Hong Kong sekarang ini? 
Sebenarnya di China dan Hong Kong mempunyai banyak pelakon-pelakon berpotensi besar. Cuma mereka tidak dikenali sangat. Oleh itu, saya mahu menolong mereka untuk memperkenalkan mereka. Saya juga bercadang mahu membuka sebuah sekolah lakonan seni mempertahankan diri. Saya mahu mengajar mereka bagaimana mahu menjadi seorang bintang filem.

"Police Story 2013" akan menemui penonton pada 24 Disember ini.