16 Dis – Wanita yang dikaitkan dengan kes skandal Adi Putra iaitu Nooraida Abdul Mutalib mengakui cukup teruja dan meminati lakonan aktor "KL Gangster" itu.
"Mula-mula tu dia hantar gambar 'selfie' dan individu dalam gambar itu dipercayai adalah dia. Masa kali pertama dapat tu saya sangat teruja dan seronok."
Tetapi jelas Nooraida lama kelamaan dia tidak menyangka pelakon yang baru dikenali selama seminggu itu menerusi aplikasi WhatsApp tergamak untuk menghantar gambar lucahnya.
"Kemudian dalam dua tiga hari, dia hantar pula beberapa gambar lucah dan individu dalam gambar tu dipercayai adalah dia. Reaksi pertama saya, saya terkejut. Saya tak minta gambar-gambar seperti itu. Dan saya pula tak hantar gambar bogel pada dia," katanya seperti dipetik portal hiburan tempatan.
Tambah wanita berusia 30 tahun itu lagi, apabila terjadinya perkara tersebut beliau berhenti berborak dengan pelakon itu kerana tidak percaya tindakan pelakon berkenaan.
"Saya tertanya sendiri dan seakan tidak percaya, betul ke ini dia? Menyedari perkara itu salah, saya berhenti dari membalas WhatsApp. Semasa saya berbalas-balas WhatsApp pun, saya menjaga pertuturan saya. Walaupun sudah berhenti, dia pandai memujuk rayu. Apabila suami saya dapat ketahui perkara ini, saya berterus terang pada suami saya."
Sementara itu, suami Nooraida, Aminuddin Othman nyata tidak berpuas hati dengan hasil siasatan yang dibuat pengawai penyiasat yang mengendalikan kes itu yang mana baginya tidak telus dan profesional.
"Saya dan isteri membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ke atas pegawai penyiasat itu kerana kurang berpuas hati dengan hasil siasatan yang telah dibuat kerana ada beberapa bukti yang menunjukkan pegawai siasatan ini tidak telus dan lebih berpihak kepada pelakon itu.
"Saya berharap pegawai ini disiasat oleh bahagian tata tertib dan membolehkan polis melantik pegawai penyiasat baru," katanya yang kecewa apabila kes itu diklasifikasikan di bawah 'No Further Action' (NFA) atau tiada tindakan lanjut.
Pihak mereka telah pun mengupah peguam untuk membuat permohonan kepada pendakwa raya untuk melihat semula bukti dan meneliti pertuduhan yang lebih relevan berbanding Seksyen 509 kepada Seksyen 498 Kanun Keseksaan.