Johannesburg: Aksi Presiden Amerika Syarikat Barack Obama bersama Perdana Menteri Denmark, Helle Thorning-Schmidt, dan Perdana Menteri Britain David Cameron ketika menghadiri upacara memperingati Nelson Mandela menjadi perbualan hangat di media sosial.
Ketiga-tiga pemimpin dunia berkenaan sibuk bergambar (selfie) ketika upacara itu berlangsung sementara wanita pertama AS, Michelle Obama dilihat tidak menghiraukan tingkah laku suaminya.
Kebanyakan komen di media sosial menyatakan Michelle cemburu melihat aksi suaminya itu.
Obama dan Cameron dilihat sangat mesra dengan Helle yang duduk diapit kedua-duanya.
Di samping itu, Helle dilihat sibuk mengambil foto mereka bertiga sambil bergurau senda.
Sebagaimana dipetik daripada media AS, National Post semalam, reaksi Michelle sangat berbeza berbanding dengan suaminya yang asyik tersenyum lebar. Malah, Obama sempat ketawa ketika berjenaka dengan Helle.
Di samping itu, wajah Michelle juga kelihatan serius ketika menyaksikan suaminya memegang bahu Helle sewaktu berjenaka dengan Perdana Menteri Denmark berkenaan.
Malah, media Australia, news.com.au mengulas yang Michelle dikatakan seolah-olah bersikap dingin terhadap Helle.
Ketika ingin berpisah, Obama dan Helle dilihat sempat berbalas ciuman di pipi.
Sementara itu, aksi Cameron mendapat kritikan media Britain.
Seorang penganalisis akhbar The Telegraph menyatakan tingkah laku Cameron sebagai pemimpin negara dilihat tidak sopan dalam majlis itu.
Aksi ketiga-tiga pemimpin dunia itu turut menjadi perbicaraan hangat di Twitter terutama ketika upacara yang diselubungi kedukaan ekoran pemergian Mandela sedang berlangsung. Kelihatannya ketiga-tiga mereka tidak prihatin dengan upacara sedemikian.- Agensi