Tabiat sukar di ubah tetapi tak mustahil untuk mengubahnya. Tabiat adalah salah satu perkara kecil yang jika di gabungkan boleh menjadi perkara yang besar. Perkara yang kecil ini jika boleh di ubah akan membantu anda untuk mengurangkan berat badan anda kepada berat badan yang anda impikan. Jadi, cubalah untuk memperbetulkannya. Ini adalah antara tabiat yang membantu mengurangkan berat badan anda.
Semak semula tabiat
Cuba ingat semula tabiat yang anda sering lakukan. Adakah anda suka mengunyah ketika menonton televisyen? Menghabiskan makanan anak-anak? Makan lewat malam? Menyemak semula tabiat boleh memudahkan anda untuk mengubah semula kepada tabiat yang boleh menjimatkan pengambilan kalori.
Bersarapan
Sarapan adalah waktu makan yang paling penting dalam hari anda. Badan anda memerlukan sumber yang mencukupi untuk metabolisme dan tenaga sepanjang hari selepas waktu tidur yang panjang.
Makan perlahan
Jangan makan terlalu laju kerana anda tidak memberi peluang kepada diri sendiri untuk menikmati makanan tersebut. Kunyahlah dengan teratur. Jangan berterusan menyuap makanan ke dalam mulut tanpa memberi peluang mulut untuk menghabiskan kunyahan sebelumnya.
Rancang pemakanan
Setiap perkara perlukan strategi dan perancangan. Begitu juga dengan proses menurunkan berat badan. Jika anda ingin menonton wayang, sediakan bungkusan kekacang yang tidak bergaram ataupun sayuran sebagai snek semasa menonton. Jika tidak, anda pasti terpaksa mengikut nafsu makan anda dengan membeli makanan yang tidak sepatutnya dan akan menambah jumlah kalori anda dengan lebih banyak seperti bertih jagung, makanan ringan, air berkabonat dan sebagainya.
Makan sebelum membeli belah
Sebelum membeli barangan dapur, lebih elok jika anda mengenyangkan perut terlebih dahulu ataupun akhirnya anda akan membeli barangan yang tidak sepatutnya. Bawa senarai barangan yang perlu di beli akan menjimatkan masa sekaligus mengikut apa yang dirancang dalam pelan pemakanan anda. Bekalan makanan yang sihat di dapur rumah anda juga mempengaruhi diet anda.