HELLO AND HAVE A NICE DAY
Powered by Blogger.

22 Apr 2014

Tip fesyen buat si gadis comel


Kebanyakan wanita yang mempunyai bentuk badan yang besar seringkali menghadapi dilema dalam menentukan jenis dan bentuk pakaian yang sesuai buat diri mereka.

Namun, kini mereka tidak perlu lagi gusar dalam mencari pakaian yang sesuai. Ini kerana telah banyak jenama pakaian yang menyediakan pelbagai pilihan fesyen buat si wanita bertubuh gempal. 

Di sini kami menyediakan tip buat anda dalam menentukan jenis pakaian yang sesuai untuk menjadikan anda kelihatan lebih menarik dan mempersona. 

Stail blaus 
Pemilihan gaya blaus sangat penting dalam keseluruhan padanan pakaian anda. Paras labuh blaus yang memanjang ke bawah lebih sesuai dan padan buat diri anda kerana blaus labuh mampu menutupi segala kelemahan dari sisi dada, pinggang, perut dan peha anda. 

Padanan fabrik sifon dan corak bersaiz kecil mampu membuat anda kelihatan lebih langsing. 

Gaya kardigan
Buat penggemar kardigan, ini adalah berita baik buat anda. Padanan kardigan yang sesuai mampu menyingkirkan lebihan aset yang tidak sepatutnya dalam sekelip mata! Ianya dapat menyembunyikan bahagian tertentu sekaligus dapat menyerlahkan keyakinan diri anda. 

Tetapi awas, pilih kardigan yang dihasilkan daripada fabrik yang sederhana. Fabrik kapas sangat sesuai kerana tidak terlalu tebal dan tidak pula terlalu nipis. 

Denim
Seluar denim mampu memberi ilusi kaki yang tirus dan lebih panjang. Potongan seluar denim jenis sepatu but mampu menampakkan anda lebih tinggi dan langsing. 

Lambakan jenama mewah di 'factory outlet' mahupun belian dalam talian memudahkan lagi dalam pencarian denim yang lebih sesuai dan serasi. 

Padanan skirt 
Bagi yang tidak menggemari pemakaian seluar, skirt adalah pilihan yang sangat tepat. Skirt potongan A ataupun dikenali dengan 'princess cut' mampu memberi impak yang tepat buat si gadis comel. Fabrik yang 'flowy' dan jatuh pastinya menawan dan pada masa yang sama memberi keselesaan yang maksima. Jika inginkan kelainan, skirt fabrik denim juga boleh digayakan mengikut kesesuaian majlis dan aktiviti. 

Pelengkap aksesori
Untuk tampil bergaya di acara keramaian mahupun rasmi, padanan cincin, gelang dan rantai boleh ditambah sebagai pelengkap gaya. Namun, elakkan dari memakai terlalu banyak dan sarat. 

Anda akan kelihatan lebih besar dari yang sepatutnya. Penataan gaya yang ringkas lebih sesuai dan cantik serta akan tampak lebih mewah dan eksklusif. 

Tali pinggang
Penggayaan tali pinggang harus di elak buat anda yang mempunyai pinggang dan pinggul yang lebar. Ini kerana jika anda memakai tali pinggang, bentuk badan anda akan kelihatan dengan lebih jelas. 

Bahagian dada dan perut akan terbonjol keluar dan penampilan anda akan tampak tidak kemas. Sebolehnya harus dielakkan. Mungkin, tali pinggang yang tirus dan halus boleh digayakan jika inginkan kelainan. 

Pemilihan kasut
Kasut leper akan membuatkan anda tampak lebih rendah dan lebar walaupun pada hakikat ianya lebih selesa dan mudah untuk digayakan. 

Elakkan dari memakai sepatu tumit tinggi dan lebih sesuai digantikan dengan pemakaian kasut wedges kerana lebih seimbang dan selesa serta memberi ilusi tinggi dan langsing. 

Semoga dengan pemberian tip di atas mampu memberi panduan dan keyakinan buat diri anda. Cubalah!