Siapa yang suka main gasing dan guli waktu zaman kanak-kanak? Tanpa telefon pintar canggih atau kewujudan permainan Candy Crush, zaman persekolahan terluang dengan masa untuk bermain di luar rumah.
Adakah anda masih ingat permainan-permainan tersebut?
Congkak
Salah satu permainan tradisional, congkak merupakan permainan yang menguji kemahiran pengiraan seseorang. Saya masih ingat yang kawan-kawan dan saya pernah melukis diatas meja dengan kapur, semata-mata untuk membuat bentuk congkak dan bermain dengan guli.
Batu Seremban
Ingat atau tidak, setiap hari sebelum kelas bermula, anda mesti nampak kawan-kawan perempuan anda main batu seremban di luar koridor kelas. Konsep permainan ini senang dan boleh bermain dengan dua hingga lima oranf kawan. Sesiapa yang mahir main batu seremban mesti bangga sebab dapat menangkap batu-batu tersebut setiap kali ia dilontarkan.
Guli
Guli merupakan salah satu permainan yang amat digemari kanak-kanak dulu. Kenapa? Sesiapa yang mempunyai guli-guli yang berwarna lain daripada lain, mesti nak menunjuk-nunjuk...kan?
Lompat getah
Kumpul-kumpul getah dari bungkusan nasi lemak, ikat getah bersama-sama untuk dijadikan 'skipping rope'. Pelbagai gaya dan cara untuk main lompat getah dan permainan ini sering dijadikan 'pertandingan' antara kawan-kawan. Kadang-kala kaki pun boleh tersekat dengan dalam rantai getah-getah.
Pemadam
Ini permainan kesukaan budak-budak lelaki. Biasanya pemadam dibeli bukannya dipakai untuk memadam kesilapan di buku nota, tetapi dijadikan alat untuk main. Ingat lagi pemadam yang mempunyai bendera negara berlainan menjadi rebutan antara kawan-kawan. Caranya ialah menang dalam permainan pemadam dan anda boleh mengambil pemadam pesaing anda.
Penutup botol minuman
Banyak kegunaan penutup botol minuman Coca-cola dan F&N. Penutup botol besi itu ada kalanya dileperkan atau dijadikan batu seremban. Ada juga menggunakan penutup botol minuman untuk main 'tembak-tembak'. Faham-faham jelah, ya.
Gasing
Gasing merupakan permainan tradisional di negeri Kelantan. Tapi, kalau di bandar KL, ada musimnya untuk main gasing. Biasanya dekat hujung tahunlah permainan gasing akan dibawa ke sekolah. Yang tidak mahir main pun akan pergi beli di kedai dan bawa ke sekolah sekadar nak main bersama.