HELLO AND HAVE A NICE DAY
Powered by Blogger.

19 Apr 2014

Adik-beradik Paul Walker bantu siapkan "Fast 7"


Penerbit siri filem "Fast & Furious" yang ketujuh mengumumkan mereka akan menyiapkan baki babak yang menampilkan karakter mendiang Paul Walker, Brian O'Conner dengan bantuan adik-beradiknya, Caleb dan Cody Walker.

Dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook filem tersebut berkata, "Siri "Fast & Furious" adalah tentang keluarga. Kami sekeluarga telah menerima kejutan yang tidak dijangka pada November lalu. Kami mengambil masa untuk meratapi kematian Paul, seorang abang yang kami sayangi, serta memikirkan jika kami perlu teruskan dengan filem ini.

"Kami berbincang dan merasakan satu-satunya pilihan adalah meneruskannya. Kami percaya semua peminat mahukan perkara yang sama dan begitu juga dengan Paul. Dia telah menjalani penggambaran semua babak dramatik dan aksi untuk "Fast & Furious 7" dan ia adalah antara yang terbaik sepanjang kariernya.

"Kami telah meneruskan penggambaran dan mengucapkan selamat datang kepada adik-beradik Paul, Caleb dan Cody, dalam keluarga Fast. Mereka akan membantu kami untuk menyiapkan beberapa babak yang tinggal dalam produksi ini. Dengan kehadiran mereka membuatkan kami rasa Paul bersama kami juga.

Penerbit dan produksi turut mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh peminat lebih-lebih lagi selepas tragedi menimpa Walker.

Walker telah maut dalam nahas jalan raya pada 30 November tahun lalu di Santa Clarita, California selepas kereta dipandu rakannya, Roger Rodas, hilang kawalan dan terbabas melanggar tiang lampu.

"Fast & Furious 7" sepatutnya diriliskan pada Julai 2014, tetapi kru produksi dan barisan pelakon yang telah bekerjasama dengan Walker sejak 13 tahun lalu menghentikan penggambaran buat seketika bagi memikirkan perjalanan seterusnya buat filem ini.

Ia kini bakal diriliskan pada 10 April 2015.