HELLO AND HAVE A NICE DAY
Powered by Blogger.

19 Apr 2014

Usah segan bicara pendidikan seks


Kurangnya pendedahan terhadap pendidikan seks menyebabkan kebanyakan remaja yang terbabit dengan aktiviti seks bebas tidak begitu mengambil berat berkaitan isu perlindungan.

Sampai sekarang, persoalan berkaitan seks dianggap tabu dan tidak boleh dibicarakan secara terbuka. Malah ada sebahagian ibu bapa mengelak apabila anak bertanyakan mengenai perkara itu. 

Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi KPJ Ampang Puteri, Dr Ariza Mohamed, pendidikan seks bukan digunakan untuk mengajar anak melakukan hubungan kelamin sebelum waktunya sebaliknya ia bertujuan memberi pendedahan berkaitan anggota badan sendiri dan bahagian yang boleh dan tidak boleh disentuh orang luar. 

“Seharusnya ia dilakukan sejak kecil dengan memperkenalkan anak kepada organ reproduktif penting menggunakan istilah sebenar bukan sekadar bahasa kiasan.

“Ia langkah penting perlu dilakukan ibu bapa bagi mengelakkan pelbagai kemungkinan tidak diingini di kemudian hari nanti,” katanya.

Disebabkan tidak memiliki pengetahuan berkaitan kesan yang boleh berlaku apabila menjalinkan hubungan kelamin tanpa perlindungan, ramai remaja perempuan khususnya berhadapan situasi mengandung luar nikah. 

Apabila ia berlaku dan jika tidak mendapat sokongan membuatkan mereka memilih untuk menyembunyikan kehamilan, menggugurkannya, membuang atau membunuh bayi yang dilahirkan itu. 


Antara risiko boleh dialami remaja hamil bawah umur: 

• Tidak mampu melanjutkan pengajian disebabkan kehamilan. 

• Mengandung pada usia terlalu awal boleh menyebabkan risiko kesihatan tertentu. 

• Berhadapan tekanan psikologi yang teruk. 

Dr Ariza berkata, hubungan kekeluargaan yang renggang juga menjadi pendorong utama remaja terbabit pelbagai aktiviti tidak sihat dan memudaratkan. 

Jalan penyelesaian termudah apabila remaja berkenaan mencari ‘perlindungan’ dan perhatian bersama rakan. 

“Keadaan persekitaran kini membuatkan cabaran membesarkan anak seolah-olah menjadi bebanan yang cukup besar bagi ibu bapa. Ketiadaan masa untuk diluangkan bersama akibat kerjaya sedikit sebanyak mengganggu perhatian serta tumpuan pada anak,” katanya. 

Selain itu, jika hubungan kelamin yang dilakukan tanpa sebarang perlindungan, remaja berkenaan berdepan dengan masalah penyakit jangkitan disebabkan kegiatan seksual (STD). 


Terdapat beberapa jangkitan boleh berlaku iaitu: 

• Virus Herpes Simplex (HSV) 

Ia sejenis virus yang menjangkiti alat kelamin wanita akibat hubungan seksual berbilang pasangan. Virus ini tidak dapat dihapuskan secara keseluruhan kerana selepas rawatan antivirus diberikan, ia akan ‘bersembunyi’ dalam saraf dan hanya muncul kembali apabila sistem imun badan menjadi rendah. 

• Gonorrhea 

Ia disebabkan bakteria Neisseria gonorrhea dan menyerang alat kelamin wanita. Pesakit akan mengalami nanah berbau busuk yang keluar dari kemaluan dan menyebabkan faraj dalam keadaan radang serta sakit. 


• Human Immunodeficiency Virus (HIV) 

Ia sejenis virus yang menyerang sel darah putih dalam tubuh. Apabila sel darah putih dijangkiti virus HIV, ia akan pecah dan hancur. 

Lama-kelamaan jumlah sel darah putih yang menjadi benteng kepada daya ketahanan badan ini makin berkurangan dan mendedahkan individu berkenaan kepada jangkitan kuman. 


• Chlamydia trachomatis 

Ia menyerang alat kelamin wanita membabitkan organ peranakan dalam tubuh serta merosakkan salur fallopio. Keadaan ini boleh menyebabkan wanita terbabit sukar mendapat anak kelak. 


Bagi memberi pendedahan kepada remaja berkaitan isu ini, beliau turut turun padang dan bekerjasama dalam program penerangan reproduktif yang dijalankan pihak hospital. 

Matlamat utama adalah mendekati pelajar remaja dan memberikan penjelasan sebaik mungkin terutama membabitkan pendidikan seksual. 

Antara aktiviti adalah aktiviti berkumpulan membabitkan jururawat bersama pelajar. Pelbagai persoalan peribadi boleh diajukan kepada jururawat membabitkan pelbagai isu tetapi kebanyakannya berkisar kepada sistem reproduktif manusia. 

“Seharusnya program sebegini dianjurkan secara berterusan kerana remaja perlu didedahkan dengan sebaik mungkin sejak awal. Mereka perlu diberitahu kesan yang boleh berlaku sekiranya terbabit dengan hubungan seksual pada usia muda,” katanya. 

Remaja perempuan perlu mengetahui masalah kesihatan yang boleh dialami sekiranya hamil di usia muda. Antaranya: 

• Berhadapan risiko pengecutan rahim pramatang kebiasaannya pada usia kandungan tujuh atau lapan bulan. 

• Lebih berisiko menghadapi masalah anemia. 

• Menghadapi masalah ketika melahirkan bayi disebabkan keadaan rahim serta tulang pinggul yang belum matang pembentukannya. 

• Berisiko menghidap darah tinggi ketika hamil. 


Fakta: 

• Sebelum baligh, saiz rahim wanita lebih kurang sebesar buah jambu air, kemudian sesudah baligh ia membesar kira-kira saiz buah pir. 

Pada saat ini, kilang telur mula aktif dan mengeluarkan hormon penting untuk wanita iaitu estrogen dan progesteron.