Sekarang kan musim ramai menamatkan zaman bujang. Namun sebelum melangkah naik pelamin, anda perlu berhadapan dengan wanita paling penting dalam hidup pasangan anda. Siapa lagi kalau bukan ibu si dia.
Ingat senang nak menangi hati ibu mertua? Silap hari bulan menderitalah hidup anda jika anda dan ibu mertua tidak boleh ngam.Tambah lagi jika calon suami merupakan anak emak, ha, habislah. Lagi susah nak menangi hati ibu mertua! Nak menangi hati bapa mertua tidak berapa susah kerana lelaki ini sifatnya memang kurang cerewet sedikit.
Kali ini bagi membantu menenangkan anda, saya akan beri beberapa tip dan petua menangi hati bakal ibu mertua agar raya akan datang tidaklah seseksa mana.
Belajar masak
Paling penting, anda harus pandai di dapur. Kali pertama melawat rumah bakal mertua, rajinkan kaki dan tangan membantu di dapur. Tidak kisahlah ibu mertua anda seorang Datin Seri atau Permaisuri Agong, miliki pembantu rumah, rajinkan sahaja membantu memasak dan menyediakan juadah. Ini pasti menyejukkan hati bakal ibu mertua anda. Nak markah bonus? Belajar masak makanan kegemaran bakal mertua.
Selidik latar belakang mertua
Apa yang ibu mertua anda suka? Beliau suka pakai baju kurung diperbuat dari kain sari? Adakah beliau suka tarian poco-poco? Adakah beliau suka minum kopi panas dengan cucur udang? Pastikan anda bersedia dari segi mental segalanya tentang bakal ibu mertua. Ibu mertua anda tidak suka perempuan berpakaian menjolok mata? Soroklah pakaian anda yang tidak kena di mata beliau. Pastikan setiap kali bersua ibu mertua, anda membawa imej menantu dari syurga.
Bawa buah tangan
Janganlah datang rumah ibu mertua bertangan kosong. Nampak macam ibu bapa tidak pandai mendidik anda. Bawalah kuih-muih kesukaan ibu mertua anda ataupun kain yang cantik. Sejuk hati ibu mertua melihat bakal menantu tidak kedekut dan sentiasa beringat dengan orang tua.
Teman berbual
Orang tua suka berbual. Maniskan muka, dan dengar apa yang ibu mertua cakapkan. Pastikan anda mengikut lenggok beliau dan bercakap dengan lembut dan sopan. Jangan pula bercakap macam anda berbual dengan teman-teman di kedai kopi. Pastikan juga topik perbualan disenangi ibu mertua. Dan juga pastikan bahawa semua yang dikatakan ibu mertua anda benar. Jangan pandai-pandai melawan cakap orang tua, nanti tak restu pula nak kahwin dengan anak dia!
Jangan terlalu PDA depan mertua!
Awas, biarpun anda cintai anak lelaki ibu mertua anda separuh mati, usahlah perlu ditunjuk sangat depan ibunya. Ini nampak agak tidak sopan dan tidak mengikut budaya timur.
Tip tambahan: Selepas bersalin, ternyata ibu mertua anda akan sayang kerana diberikan cucu. Petua ini memang benar jadi pastikan beranak cepat lepas kahwin!