Python reticulatus, juga dikenali sebagai Ular sawa rendam, ialah satu spesies ular sawa yang ditemui di Asia Tenggara. Inilah spesies ular dan reptilia yang terpanjang di dunia, tetapi bukanlah yang paling besar badan. Seperti semua ular sawa, ular sawa rendam merupakan penjerut dan biasanya tidak dianggap berbahaya kepada manusia. Walaupun spesimen besar cukup kuat untuk membunuh manusia dewasa, namun serangan terhadap manusia agak jarang.
Nama spesifiknya,reticulatus, dalam bahasa Latin bermaksud "seakan jaring", atau berselirat, dan memaksudkan corak warnanya yang kompleks.
Corak warnanya merupakan corak geometri kompleks yang menerapkan berbagai-bagai warna. Bahagian belakangnya lazimnya mempunyai serantaian bentuk-bentuk daiman yang tidak sekata, diapit oleh tanda-tanda kecil yang berpusat terang. Oleh sebab spesies ini luas tertabur, maka sudah tentu terdapat banyak kelainan dari segi saiz, warna dan corak.
Ular sawa rendam ditemui di Asia Tenggara mulai Kepulauan Nicobar, India timur laut, Bangladesh, Burma, Thailand, Laos, Kemboja, Vietnam, Malaysia dan Singapura, timur melalui Indonesia dan Kepulauan Indo-Australia (Sumatra, Kepulauan Mentawa, Kepulauan Natuna, Borneo, Sulawesi,Jawa, Lombok, Sumbawa, Sumba, Flores, Timor, Maluku, Tanimbar) dan Filipina (Basilan, Bohol, Cebu, Leyte, Luzon, Mindanao, Mindoro, Negros, Palawan, Panay, Polillo, Samar, Tawi-Tawi).
Ular sawa rendam tinggal di hutan hujan, hutan jarang, dan padang rumput yang berdekatan. Ular ini juga dikaitkan dengan sungai dan dijumpai di kawasan-kawasan yang dekat dengan anak sungai dan tasik. Sebagai perenang yang mahir, ular sawa ini turut dilaporkan wujud di tengah-tengah laut dan oleh itu menduduki banyak pulau kecil dalam julatnya. Pada awal abad ke-20, adalah dikatakan bahawa ular sawa turut dijumpai di kawasan-kawasan yang sibuk di Bangkok, kadang-kadang memakan haiwan peliharaan.