Soal hati dan cinta bukan sesuatu yang senang dijangka atau difahami selalu. Jadi, apabila putus cinta, bagaimana anda ingin teruskan hidup ini tanpa teman anda?
Ia memang suatu perjalanan yang sukar, terutamanya jika hubungan itu telah dijalinkan sekian lama. Namun begitu, pengakhiran kisah cinta anda mungkin ada hikmah disebaliknya.
Bersedih dahulu
Ambil masa untuk bersedih dan luahkan segala perasaan anda dahulu. Ini adalah kerana anda perlukan ruang dan masa untuk 'menutup' kisah silam anda bersama seseorang yang pernah anda percayai, sayangi dan bersama untuk suatu jangka masa. Pada masa yang sama, mula lihat balik barang-barang lama yang dikongsi atau diberi bekas kekasih anda dan simpan di dalam kotak. Beri diri anda tiga hari untuk fikirkan jika anda ingin buang atau simpan barang-barang tersebut. Tetapi, jangan pula anda pergi jumpa dia untuk pulangkan barang-barang itu.
Lupakan laman sosial & nombor telefon dia
Mungkin ini adalah cabaran utama yang akan dihadapi setiap orang pada zaman teknologi ini. Untuk lupakan seseorang, anda seharusnya berhenti menghubungi dia. Anda harus berhenti menghantar mesej melalui apa cara pun - Whatsapp, WeChat, Line, Facebook mesej. Selain itu, anda perlu jauhi diri anda dari laman sosial bekas kekasih anda. Biarkan dia menjalani hidup dia dan lepaskan segala-gala prasangka atau rasa ingin tahu tentang kehidupan dia. Ingat, kehidupan anda lebih penting dan dia bukan lagi teman hidup anda.
Kemas rumah anda
Anda masih lagi berkurung di rumah dan tidak ingin jumpa sesiapa? Bagus. Inilah masanya untuk anda kemas rumah. Alih perabot anda dan rekakan ruang baru untuk diri anda bersenam, membaca atau beristirehat. Di sini anda mungkin boleh membuat keputusan untuk lepaskan segala barang-barang milik bekas kekasih anda. Pada masa yang sama, kaum wanita juga boleh mengemas pakaian yang tidak lagi diperlukan untuk diderma atau dibuang. Buat sesuatu yang kreatif untuk lupakan seseorang yang tidak lagi wujud dalam hidup anda.
Tukar penampilan diri anda
Setelah mengemas rumah, anda mungkin masih tidak berapa yakin untuk keluar rumah dan hadapi hidup anda semula. Apa kata anda tukar penampilan diri anda? Sebenarnya cara yang paling senang adalah tukar gaya rambut anda ataupun cuba cara pemakaian yang baru. Ingat, anda tidak perlu lagi ikut cita rasa orang lain kerana hidup anda milik diri anda. Cubalah penampilan yang baru untuk menaikkan semangat dan keyakinan diri anda.
Luangkan masa bersama ahli keluarga
Anda mungkin hilang tempat bergantung setelah berpisah dengan bekas kekasih anda. Menurut Psychology Today, anda perlu mencari 'pengganti' tempat bergantung dan latih diri anda untuk terima bantuan serta sokongan dari orang tersayang, iaitu ahli keluarga anda. Ahli keluarga anda boleh membantu anda untuk lupakan segala-gala yang sedih dan memberi sokongan moral yang diperlukan. Namun begitu, jangan jadikan mereka mangsa kepada segala-gala kesedihan anda. Lakukan aktiviti bersama ahli keluarga anda dan jalani kehidupan anda dengan hati yang senang.
Melancong
Jika perlu, anda boleh ke tempat yang baru untuk lupakan masa-masa bersama ex anda. Anda tidak perlu ke tempat yang jauh, tetapi tempat yang anda tidak pernah kunjungi bersama bekas kekasih anda. Ini adalah supaya anda mempunyai kenangan gembira baru bersama ahli keluarga atau kawan-kawan rapat. Kepada mereka yang ingin melancong secara solo, anda boleh berbuat demikian tetapi dengan perancangan yang rapi dan selamat.
Bermimpi dan reka impian anda
Cuba anda imbas kembali apakah impian anda sebelum jumpa si dia? Mungkin anda pernah bermimpi untuk miliki bisnes sendiri, berlari acara maraton, mendaki Gunung Kinabalu atau memberi ucapan kepada beribu-ribu orang. Agihkan masa untuk mengejar impian anda atau reka impian baru untuk diri anda. Hidup ini mungkin pendek, namun ia boleh diwarnai dengan pelbagai pengalaman manis jika anda beri diri anda peluang untuk berbuat demikian. Realisasikan impian anda pada tahun 2014 yang akan datang.
Belajar sesuatu yang baru
Dengan masa yang banyak di tangan anda, anda boleh belajar sesuatu yang baru. Contohnya, belajar bahasa baru, menyelam, membuat kraf tangan, belajar main muzik ataupun hadiri kursus-kursus membina diri. Rancangkan setiap objektif yang ingin dicapai apabila memperlajari sesuatu yang baru. Anda mungkin akan temui kawan-kawan baru ketika menghadiri kursus-kursus atau kelas-kelas tersebut. Buka minda anda dan terima pengetahuan baru.
Sentiasa ingat yang anda tidak keseorangan ketika melalui masa-masa yang sukar ini. Setiap orang akan melalui cabaran hidup yang berbeza dan anda perlu teruskan hidup ini dengan hati yang tabah dan harapkan yang terbaik untuk hidup anda.