HELLO AND HAVE A NICE DAY
Powered by Blogger.

13 Jan 2014

4 Petua Jimat Kenduri Kahwin


Siapa yang tidak sabar menunggu hari bahagia? Kita sering kali melihat bagaimana gah dan meriah majlis perkahwinan diadakan. Bukan setakat gah dan meriah, malah mahal juga. Memang benar, kahwin hanya sekali dalam hidup, melainkan anda Rozita Che Wan (gurauan sahaja, jangan marah). 

Kita bukan nak persoalkan berapa kali seseorang boleh berkahwin. Di sini kami ingin bantu anda mengurangkan kos perkahwinan dan masih dapatkan majlis perkahwinan yang diimpikan.

Uruskan senarai tetamu anda
Bagi saya, saya hanya inginkan kaum keluarga dan teman rapat di majlis perkahwinan saya. Senarai tetamu sepatutnya mereka yang anda sayang dan hargai kerana anda mahu kongsi kebahagiaan bersama mereka. Bukanlah sampai jemput satu dunia untuk meraikan anda. Jika anda mampu belanja lebih, jemputlah. Tetapi jika tidak, jemput yang perlu sahaja.

Masalah gaun kahwin
Tiada seorang gadis yang tidak mahu cantik macam tuan puteri pada majlis perkahwinan beliau. Biarpun begitu tidak semua mampu menyarung gaun rekaan Jovian Mandagie. Janganlah sampai paksa calon suami berhutang dengan bank semata-mata nak cantik macam Lisa Surihani ketika majlis perkahwinan anda. Carilah rekaan yang cantik dan mampu dibeli. Jika mahal sedikit pastikan bukan gaun yang akan dipakai seumur hidup tetapi sesuatu yang boleh diubah suai untuk sesuai dengan acara-acara lain.

Biar simple
Peraturan penting kalau nak jimat duit dalam situasi apa sekalipun, ambil perkara penting dan perlu sahaja. Majlis berinai dan bersiram bagai ini sebenarnya tidak perlu pun. Kalau nak berinai sangat, cuba atur satu sleepover bersama rakan-rakan rapat dan bantu satu sama lain untuk berinai. Ini lebih jimat daripada upah orang. Kalau takut inai comot, cari kawan yang pandai guna inai. 

Kreatif dengan cenderahati
Bunga telur kalau beli banyak-banyak boleh pokai. Kini kebanyakan pengatin memilih cenderahati untuk tetamu yang moden, bukan lagi bunga telur dan gula-gula. Jika anda mencari kelainan sambil berjimat, cuba hadiah DIY. Kumpul teman-teman anda dan lakukan aktiviti buat cenderahati sendiri. Tapi pastikan 6 bulan sebelum kenduri jadi anda tak panic!