HELLO AND HAVE A NICE DAY
Powered by Blogger.

Koleksi Gambar Berkaitan Kapal Titanic (11 Gambar)

11 Gambar yang berkaitan dengan kapal Titanic ini mungkin ada yang anda belum pernah saksikan

Semua Jawapan Untuk Guess The Emoji

Untuk memudahkan korang,ni aku nak share SEMUA jawapan untuk games Guess The Emoji,dari level 1 hinggalah level 25.

Tanda-tanda Kiamat Kecil Yang Telah Muncul

Disaat kita berada dalam lena yang panjang, ketika itulah kiamat akan datang, dan kalian kelihatan seperti keldai yang terpinga-pinga. Maka, ambillah peringatan, kerana peringatan itu amat berguna kepada mereka-mereka yang berfikir.

Jadual Dan Tarikh Pembayaran Gaji Tahun 2014 Kakitangan Awam

Jabatan Akauntan Negara Malaysia (ANM) telah menyiarkan surat pekeliling yang bertujuan memaklumkan tarikh pembayaran gaji bulanan bagi tahun 2014 untuk kakitangan awam

Wanita lebih kerap bermimpi tentang seks

Tanpa mengira sama ada lelaki menghabiskan lebih banyak waktu untuk berfikir tentang seks, kajian pada tahun 2007 mendapati bahawa lelaki kurang cenderung untuk bermimpi tentang seks berbanding wanita.

22 Apr 2014

BAHAYA MEMBUNUH LIPAS


Apabila anda melihat binatang lipas di rumah, jangan anda memukulnya sampai mati kerana isi perut lipas sangat bahaya.

Dalam perut Lipas terdapat cacing halus/lembut yg akan hidup meskipun diluar dari tubuh lipas. Bila cacing ini sudah berada di luar dari tubuh lipas (perut) dia akan bergerak untuk mencari tempat baru.

Cacing ini bentuknya sangat pendek, halus dan lembut akan terlihat pada mata kasar bila jarak pandang sekitar 10-20cm.

Cara nak tengok lipas ni, letak isi perut lipas di atas kertas hitam atau cermin.. Nanti cacing perut lipas akan bergerak2.

Sangat berbahaya apabila cacing ini sampai menyentuh kulit tubuh kita (terutama kaki) kerana dapat masuk melalui pori-pori kulit atau bila ada luka terbuka pada kulit luar.

Ketahui kesalahan ketika bersolek


Pernahkan anda berasa tidak kena atau kelihatan tidak cantik walaupun sudah bersolek? Puas mengikut tunjuk ajar orang, namun masih juga tidak ada yang kena. Kening jadi tebal, bedak nampak berbelak, gincu comot, dan ada sahaja yang nampak tidak cantik. Sedangkan bila melihat teman yang lain mengenakannya, mereka nampak cantik.

Ini kerana wanita ada yang sesuai bersolek tebal, da nada pula yang lebih sesuai dengan solekan tips. Anda harus bijak dalam bersolek agar tampak lebih cantik pada anda. 

Oleh itu, di sini kami ingin berkongsi dengan anda tentang beberapa kesalahan yang anda lakukan ketika bersolek untuk panduan anda.

Bedak asas
Sebelum memilih bedak asas, anda harus tahu tona kulit anda. Walaupun anda cerah, ada masanya bedak asas berwarna cerah tidak sesuai dengan anda. 

Begitu juga bagi anda yang mempunyai kulit hitam manis, belum tentu bedak asas warna gelap 'masuk' dengan warna kulit muka anda. Ketika mahu membeli bedak asas, dapatkan pandangan dari jurujual yang ada. 

Mereka boleh mencadangkan warna yang paling sesuai dengan rona kulit anda. Walaupun begitu, jika anda bersendirian ketika membeli bedak asas, anda boleh mengambil sedikit bedak asas tesebut dan sapukan pada rahang pipi anda. 

Biasanya rahang mempunyai tona yang sama seperti kulit muka. Jika ia seolah-olah meresap ke dalam kulit wajah anda, maka bedak asas tersebut sesuai. 

Untuk mendapatkan sapuan bedak asas yang rata, gunakan span khas. Penggunaan berus juga boleh, tetapi lebih sesuai buat anda yang sudah biasa. 

Bedak padat
Sama seperti bedak asas, pemilihan bedak padat juga sama penting. Pemilihannya sama sahaja seperti ketika anda membeli bedak asas. Warna yang paling sesuai untuk kulit adalah satu tona gelap daripada kulit anda, terutamanya buat anda yang mempunyai kulit gelap. 

Tersalah beli, sapuan bedak akan tampak berbelak dan berwarna kelabu. Mempunyai kulit cerah juga memerlukan anda untuk memilih bedak padat yang sesuai supaya tidaklah solekan anda terlalu pucat.

Jika anda memiliki kulit cerah, penggunaan BB Cream adalah lebih digalakkan, kemudian baharulah sapukan bedak pada wajah. Penggunaan bedak debu sebagai asas solekan juga tidak menjadi masalah, tetapi sapuannya lebih cantik sekiranya menggunakan berus kabuki.

21 Apr 2014

Kebaikan air kacang soya


Pasti ramai yang suka minum air kacang soya bukan? Sedap dan menyamankan apabila setiap kali anda minum, malahan ia juga mempunyai banyak khasiatnya. 

Tidak dapat dinafikan kebaikan air soya ini apabila sudah banyak penemuan saintifik yang membuktikan bahawa kacang soya dan protein soya boleh mempertingkatkan kualiti kehidupan tanpa mendatangkan kesan sampingan yang memudaratkan. 

Kacang soya merupakan makanan seimbang yang sangat baik dan ia juga jauh lebih murah daripada daging, susu ataupun telur, dan ia mengandungi 50% protein bagi setiap 100 gram kacang soya, merupakan 2 kali lebih daripada kacang tanah, 11 kali lebih daripada susu dan 3 kali lebih daripada telur. 

Ia juga kaya dengan bahan mineral seperti kalsium, sodium, manganese, magnesium, iron dan fosforus, vitamin A, B, C, D serta lesitin yang boleh dijadikan bahan pengganti susu bagi bayi yang mempunyai alahan terhadap susu lembu, manakala protein yang terdapat pada kacang soya boleh mengurangkan risiko penyakit kanser dan jantung. 

Kacang soya sangat baik dijadikan sebagai bahan bagi hidangan vegetarian dimana mudah dicerna kerana ia mengandungi semua asid amino yang diperlukan untuk membina dan membaiki tisu badan yang rosak serta membekal tenaga. 

Dengan mempunyai kadar lemak yang rendah dan kaya dengan protein, ia dapat mengurangkan risiko penyakit koronari jantung melalui pengawalan paras kolestrol dalam badan oleh peptid soya 7s dan 11s di mana tindakannya seperti ubat 'statins' tetapi tanpa kesan sampingan ubat. 

Isoflavin soya dipercayai dapat mempertingkatkan kesihatan payudara serta mencegah penyakit barah payudara dan Rahim, memperkuatkan tulang lalu mencegah osteoporosis dengan mekanisme mengurangkan kehilangan kalsium dalam tulang, mengatasi masalah simptom mati haid. 

Lesitin yang terdapat dapat kacang soya juga dapat mempercepatkan peredaran darah, menyahtoksin bahan buangan dalam sel-sel, mengemusi lemak dalam makanan, mempertingkatkan fungsi ginjal, jantung dan hati serta mampu mengawet penuaan dan mencegah pigmentasi kulit, manakala kandungan asid amino perlu, asid lemak omega-3, asid folik, zat besi dan kalsium sesuai bagi semua wanita sebagai makanan tambahan protein utama untuk mencegah anemia dan mengurangkan masalah kesihatan. Selain itu, proses penuaan juga dapat diperlahankan. 

Gula kompleks dan "oligosaccaride" dalam kacang soya memperbaiki masalah sembelit dan juga sebagai makanan utama probiotik di dalam usus besar demi kesihatan kolon serta mencegah kita daripada barah kolon. 

Jadi tidak dapat dinafikan lagi bahawa kacang soya ini sememang kaya dengan pelbagai khasiat untuk tubuh badan anda, jadikan meminum air soya ini sebagai amalan seharian anda.

DUNIA LENYAP JIKA LEBAH TIADA


Saintis yang paling terkenal pada abad ke-20 iaitu Albert Enstein pernah berbicara berkenaan dengan Lebah.

“ Jikalau sang lebah lenyap daripada muka bumi ini, umat manusia hanya akan mampu bertahan selama 4 tahun untuk hidup. Tiada sang lebah, tiada pendebungaan, tiada tumbuhan, tiada binatang, dan tiadalah manusia”

Agak pelik seorang ahli fizik terkemuka berbicara mengenai subjek yang diluar bidangnya iaitu biologi. Walau bagaimanapun, peringatan yang diberi oleh Enstein ini telah memberi satu petanda yang cukup penting untuk kita yang sedang melangkah maju dalam abad ke-21 ini.

Siapa sangka perkara yang dibicarakan Enstein itu benar-benar berlaku pada tahun 2005.Walter Haefeker, Naib Presiden Persatuan Penjaga Lebah Profesional Eropah telah menimbulkan rasa resahnya pada keadaan yang berlaku kepada koloni lebah di Eropah.

Tanpa diketahui sebabnya, populasi lebah di Jerman semakin menghilang dan ini memberi kemudaratan kepada penjaga-penjaga lebah di sana. Di Amerika Syarikat berbeza pula, dimana populasi lebah mati secara mendadak dalam kuantiti yang banyak yang akan memberi kesan ekonomi yang besar kepada sektor yang terlibat secara langsung ataupun tidak. Tiada siapa yang mengetahui sebab mengapa populasi lebah-lebah itu musnah tetapi sesetengah saintis percaya bahawa bencana ini berlaku akibat daripada tanaman tumbuhan ubah suai genetik (genetically modified plants) atau tumbuhan transgenic secara besar-besaran di US sebagai salah satu faktor

Laporan daripada Persatuan Penjaga Lebah Bavaria di Jerman pernah melaporkan bahawa sebanyak 12% daripada populasi lebah tempatan telah berkurangan. Felix Kriechbaum, salah seorang daripada ahli persatuan tersebut menjelaskan bahawa “ jikalau populasi lebah hilang tanpa kesan, agak sukar untuk kami melakukan siasatan kerana kebanyakkan daripada mereka tidak mati di dalam sarang mereka.” Terdapat banyak sebab yang membolehkan lebah-lebah tersebut hilang deria orientasi yang akan menyebabkan lebah-lebah tersebut tidak mampu pulang ke sarang mereka semula.

Presiden Persatuan Penjaga Lebah Jerman, Manfred Hederer pula melaporkan bahawa sebanyak 25 % penurunan jumlah populasi lebah di seluruh Jerman. Tambahnya lagi “dalam kes terpencil pernah berlaku penurunan sebanyak 80 % jumlah populasi lebah”. Beliau menjangkakan terdapat “ toksin - bahan kimia yang tidak biasa diketahui” yang mungkin membunuh lebah-lebah tersebut.

Di Amerika berlaku bencana yang lebih dahsyat. Penjaga lebah di pantai timur Amerika Syarikat melaporkan mereka telah kehilangan sebanyak 70 peratus bilangan lebah mereka manakala di pantai barat, mengalami penurunan sehingga 60 peratus. Dalam satu artikel yang pernah disiarkan dalam akhbar New York Times dalam ruangan bisnes menekankan bahawa “ kesan yang buruk bakal diterima sektor pertanian Amerika jikalau lebah-lebah berterusan mati”. Pakar di Universiti Cornell memperjelaskan lagi hipotesis New York Times dengan menganggarkan jumlah keuntungan yang diperoleh melalui penglibatan lebah-lebah dalam pendebungaan buah-buahan, dan sayur-sayuran untuk dijadikan makanan kepada manusia dan haiwan ternakan berjumlah kira-kira 15 bilion US dolar.

Komuniti saintis menggelarkan fenomena misteri ini sebagai Colony Collapse Disorder (CCD) yang semakin pantas bertukar menjadi masalah nasional. Ada juga saintis yang melabel masalah ini sebagai “ AIDS kepada industri penjagaan lebah”. Apa yang pasti adalah berjuta lebah telah hilang begitu sahaja. Yang hanya tinggal dalam sarang ialah anak-anak yang pasti akan mati kerana tidak diberi makanan oleh lebah-lebah dewasa yang hilang tersebut. Lebih ganjil, lebah-lebah yang mati itu tidak dijumpai di dalam sarang ataupun di sekitar kawasan sarang mereka. Saintis yang sedang melakukan penyiasatan turut berasa hairan kerana simptom yang di paparkan dalam kes ini tidak dapat dirujuk dalam mana-mana data dan maklumat yang tersedia ada berkenaan lebah.

Dalam banyak kes saintis masih berjaya menemui bahan bukti bahawa hampir semua virus yang berkaitan dengan lebah telah ditemui pada lebah-lebah yang dijumpai dalam sarang setelah kehilangan secara besar-besaran yang berlaku dalam koloni lebah tersebut. Sesetengah daripada lebah tersebut menerima 5 hingga 6 jenis jangkitan dan pada masa yang sama juga dijangkiti oleh kulat. Saintis membuat kesimpulan bahawa tanda-tanda sebegini hanya berlaku kepada lebah yang telah musnah sistem antibodi mereka.

Kejutan lain buat para saintis yang menyelidiki kes ini ialah sarang lebah yang terbiar tidak didatangi oleh lebah-lebah dan haiwan yang lain. Kebiasaannya koloni lebah yang berdekatan atau parasit akan mencuri madu dan debunga yang ditinggalkan atas sebab yang berbeza seperti kesejukan yang melampau dalam musim sejuk. Para saintis tersebut membuat hipotesis bahawa “terdapat sesuatu yang toksik pada koloni yang tertinggal yang membuatkan haiwan lain menjauhi daripadanya”.

Walter Haefeker melihat perkara ini melebihi dari skop industri penjagaan lebah. Beliau membuat andaian bahawa kemungkinan paling besar faktor yang mempengaruhi fenomena ini ialah pertambahan bilangan ladang tanaman ubah suai genetik (GM) yang mempunyai sifat rintang serangga perosak telah ditanam sekitar 40 % di ladang jagung di Amerika Syarikat. Di Jerman jumlahnya hanya sekitar 0.06 % yang hanya merangkumi kawasan di sebelah timur Mecklenburg dan Brandenburg. Beliau telah menghantar beberapa saintis untuk membuat kajian di kawasan tersebut dan mencari hubungan antara tanaman GM dan penyakit yang dialami oleh lebah.

Kajian yang dibuat di Universiti of Jena berkisar mengenai kesan debunga daripada jagung GM jenis Bt (Bt Corn) terhadap lebah memberi satu pandangan baru. Sifat jagung Bt yang tahan daripada serangan serangga perosak ialah dengan mengeluarkan rembesan toksik kepada serangga perosak tersebut. Setakat ini tidak ada bukti kukuh kes yang berlaku melibatkan jagung Bt tetapi apabila para saintis tersebut memberi racun jenis Bt kepada lebah yang diuji, jangkitan parasit berlaku kepada lebah tersebut yang membawa kepada maut. Antibodi lebah tersebut terus hilang dan ini dapat dilihat melalui jangkitan parasit terhadap lebah tersebut.

Mengikut Profesor Hans-Hinrich Kaarz daripada University of Halle yang juga merupakan salah seorang daripada Direktor kajian tersebut, beliau menyifatkan jangkitan parasit itu mungkin berlaku akibat kesan toksik yang telah mengubah permukaan usus lebah tersebut seterusnya memberi peluang kepada parasit untuk masuk. Eksperimen itu dikendalikan dengan meningkatkan kepekatan toksin tersebut sebanyak sepuluh kali ganda daripada kandungan yang biasa terdapat dalam debunga Bt selama 6 minggu.

Itulah kes yang berlaku di sekitar Eropah dan Amerika Syarikat yang dicanangkan sebagai Negara yang maju lagi moden. Kejayaan dalam bidang sains dan teknologi telah menjadikan mereka angkuh dan bongkak dalam mengatur ekologi yang jelas telah sempurna ditetapkan Tuhan. Tangan-tangan saintis yang bersifat sekularisme itu telah menidakkan peranan Tuhan dalam mengatur alam.

Dalam kes ini, hanya semata-mata untuk meningkatkan keuntungan dalam produksi pertanian, mereka telah mengubah sifat asal sesuatu tanaman dengan penggunaan bioteknologi. Mungkin di satu sudut kita lihat kebaikan daripada teknologi ini, tapi di satu sudut yang lain, seperti mana yang berlaku terhadap koloni lebah telah jelas menunjukkan bahayanya apabila kita cuba menjadi Tuhan. Kes sebegini perlu dikaji dengan lebih mendalam oleh para intelektual Islam agar kita tidak menjadi seperti mereka dengan membawa analisa dan paradigma yang lebih holistik dalam isu ini.

Selain daripada lebah, mangsa teknologi GM yang radikal ini mengenai serangga bukan sasaran ( non target species) yang lain seperti kupu – kupu Monarch yang merupakan spesis kebanggaan di US. Apa yang berlaku terhadap serangga – serangga bermanfaat ini terhadap sistem pendebungaan semulajadi ini adalah , mereka keracunan, mati dan semakin pupus akibat daripada menghisap madu dari debunga tanaman GM . Inilah manfaat teknologi tanaman yang di ubah suai yang di dakwa dan di gembar – gemburkan oleh pihak – pihak yang terlibat dalam usaha membangunkan penyelidikan dan pemberian dana kepada penyelidikan tersebut dan syarikat multinasional barat yang menerajui bidang ini untuk di komersialkan atas nama keuntungan ekonomi.

Hakikat sebenarnya, teknologi bioteknologi dalam bidang pertanian sama sekali tidak mampu memberikan hasil tanaman yang berkualiti tinggi, tidak langsung mengurangkan penggunaan racun serangga, tidak membantu meninggikan taraf ekonomi petani, tidak meningkatkan hasil pendapatan Negara dalam bidang pertanian, malah tidak juga mengurangkan masalah kebuluran bagi Negara miskin. Teknologi yang masih di ragui manfaatnya berbanding kesan buruk yang telah di buktikan di peringkat antarabangsa. Hasil daripada penyelidikan badan bebas antarabangsa terhadap teknologi GM yang telah wujud lebih dahulu di Negara mereka berbanding Malaysia yang masih lagi bertatih dalam membangunkan usaha ini. Adalah wajar bagi Malaysia untuk menyelidiki dan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Negara dunia sebelum perkara yang buruk turut kita ulangi, alami dan rasai impaknya.

20 Apr 2014

Punca anak sukar bernafas


Kanak-kanak dan bayi mudah terdedah kepada pelbagai jenis jangkitan virus pada saluran pernafasan. Penyakit yang biasa menyerang mereka ialah krup atau akut laryngotracheobronchitis.

Krup ialah serangan virus yang menyebabkan radang dan bengkak pada peti suara (larinks), salur udara (trakea) dan tiub bronkial (bronki) serta pertambahan lendir.

Ketiga-tiga organ itu terletak di bahagian atas dan bawah kerongkong yang menghubungkan mulut pada atas paru-paru.

Kerongkong yang membengkak akan mengganggu pernafasan kanak-kanak atau bayi, menyebabkan suara mereka menjadi garau dan batuk berbunyi seperti salakan anjing, tetapi lebih buruk lagi apabila kesukaran bernafas boleh mengancam nyawa.

Kanak-kanak dan bayi yang berisiko mendapat penyakit ini ialah mereka yang dijaga pengasuh di pusat jagaan harian kerana berada dalam kelompok ramai dengan lokasi sempit.

Pada masa sama, persekitaran dibiarkan tidak bersih, manakala perkongsian bekas makanan dan minuman menyebabkan penyakit mudah tersebar.

Pakar Kanak-kanak, Hospital Pantai Kuala Lumpur (PHKL), Dr Eric Lee Kim Hor berkata, serangan virus respiratori membuatkan saluran pernafasan bengkak sehingga menutup laluan oksigen, mengakibatkan pesakit mengalami batuk dengan pernafasan berbunyi bising dan keras.

“Ketika pesakit batuk, mereka memaksa udara keluar melalui laluan udara yang sempit akibat pembengkakan sehingga peti suara akan menghasilkan bunyi kuat.

“Malah, ketika menarik nafas juga akan menghasilkan bunyi tinggi seperti sesak nafas, tetapi bukan lelah.

“Ia umpama tingkap yang terbuka luas dan angin mudah melaluinya secara senyap, sebaliknya tingkap yang ditutup sedikit menyebabkan angin cuba menderu masuk dengan bunyi kuat,” katanya. 

Krup biasanya disebabkan virus parainfluenza yang merebak melalui titisan cecair dari hidung atau mulut.

Pesakit krup yang bersin atau batuk akan mengeluarkan titisan cecair di udara dan jangkitan boleh berlaku sekiranya titisan udara mengandungi virus disedut oleh orang lain.

Partikel virus dalam titisan ini juga boleh bertahan pada alat permainan atau sebarang permukaan. Jika kanak-kanak menyentuh permukaan tercemar dan kemudian menyentuh pula mata, hidung atau mulutnya, ia juga boleh mengakibatkan jangkitan.

Bagaimanapun, jangkitan krup juga boleh disebabkan oleh virus respiratori sinsitial (RSV), adenovirus dan influenza dengan cara yang sama. Malah, peningkatan jangkitan virus respiratori mudah merebak ketika musim hujan.

“Jangkitan biasanya bermula pada membran hidung, menyebabkan pesakit mengalami selesema sebelum merebak ke peti suara dan salur udara.

“Gejala seterusnya dapat dilihat apabila pesakit mula batuk, diikuti pertukaran suara dan tangisan menjadi serak, malah pernafasan mula mengeluarkan bunyi menandakan saluran pernafasan mulai menyempit.

“Bagi kes serius, saluran pernafasan yang sempit dan tertutup menyebabkan pesakit sukar bernafas. Bibir atau jari menjadi biru atau lebam, menandakan berlakunya kekurangan oksigen,” katanya.

Dr Lee berkata, jangkitan krup biasanya menyerang bayi berusia sembilan bulan hingga kanak-kanak berusia tiga tahun. Jangkitan juga bertahan tiga atau empat hari sebelum pesakit pulih sepenuhnya dalam tempoh seminggu.

“Walaupun tidak serius, jangkitan ini tidak boleh dipandang ringan. Kanak-kanak dan bayi yang terkena jangkitan perlu dirawat segera kerana boleh mengundang komplikasi penyakit lain.

“Virus pada saluran pernafasan yang tidak dihapuskan dikhuatiri memasuki paru-paru dan menyebabkan organ itu berair atau dikenali bronchiolitis.

“Ini disebabkan juga daya pertahanan melawan penyakit yang lemah, tetapi kes sebegini jarang berlaku,” katanya. 

Menurutnya, untuk mengesan sama ada kanak-kanak dan bayi dijangkiti virus parainfluenza, doktor akan membuat pemeriksaan fizikal dengan memerhatikan cara pesakit bernafas.

Doktor juga akan memeriksa tekaknya sama ada wujud tanda mengalami jangkitan krup sebelum merawatnya dengan adrenalin atau steroid yang diberi melalui nebulizer atau ubat sedut.

“Adrenalin atau steroid diberi untuk membuka saluran pernafasan pesakit yang sempit akibat bengkak dan radang pada saluran udara kerana ubat berkenaan mampu mengurangkan tanda kesakitan dalam tempoh singkat.

“Doktor juga akan memberi suntikan dexamethasone yang turut berfungsi mengurangkan bengkak.

“Kes teruk perlu dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan pemantauan. Pesakit mungkin perlu memakai tiub pernafasan sementara, tetapi keadaan ini jarang berlaku.

“Bagaimanapun, rawatan antibiotik tidak diperlukan kerana kebanyakan kes krup disebabkan virus,” katanya.

Bagaimanapun, ada kanak-kanak atau bayi tiba-tiba mengalami masalah kesukaran bernafas tanpa menunjukkan gejala jangkitan krup yang lazim.

Ini dikenali sebagai krup spasma yang disebabkan reaksi alahan terhadap jangkitan atau refluks asid perut ke dalam tekak.

Jangkitan krup pada kanak-kanak dan bayi boleh berulang. Oleh itu, jangkitan ringan boleh dirawat di rumah.

Ibu bapa atau penjaga perlu kenal semua tanda permulaan jangkitan supaya rawatan awal dapat diberi, sekali gus mengelak masalah kekurangan berlaku.

19 Apr 2014

Adik-beradik Paul Walker bantu siapkan "Fast 7"


Penerbit siri filem "Fast & Furious" yang ketujuh mengumumkan mereka akan menyiapkan baki babak yang menampilkan karakter mendiang Paul Walker, Brian O'Conner dengan bantuan adik-beradiknya, Caleb dan Cody Walker.

Dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook filem tersebut berkata, "Siri "Fast & Furious" adalah tentang keluarga. Kami sekeluarga telah menerima kejutan yang tidak dijangka pada November lalu. Kami mengambil masa untuk meratapi kematian Paul, seorang abang yang kami sayangi, serta memikirkan jika kami perlu teruskan dengan filem ini.

"Kami berbincang dan merasakan satu-satunya pilihan adalah meneruskannya. Kami percaya semua peminat mahukan perkara yang sama dan begitu juga dengan Paul. Dia telah menjalani penggambaran semua babak dramatik dan aksi untuk "Fast & Furious 7" dan ia adalah antara yang terbaik sepanjang kariernya.

"Kami telah meneruskan penggambaran dan mengucapkan selamat datang kepada adik-beradik Paul, Caleb dan Cody, dalam keluarga Fast. Mereka akan membantu kami untuk menyiapkan beberapa babak yang tinggal dalam produksi ini. Dengan kehadiran mereka membuatkan kami rasa Paul bersama kami juga.

Penerbit dan produksi turut mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan oleh peminat lebih-lebih lagi selepas tragedi menimpa Walker.

Walker telah maut dalam nahas jalan raya pada 30 November tahun lalu di Santa Clarita, California selepas kereta dipandu rakannya, Roger Rodas, hilang kawalan dan terbabas melanggar tiang lampu.

"Fast & Furious 7" sepatutnya diriliskan pada Julai 2014, tetapi kru produksi dan barisan pelakon yang telah bekerjasama dengan Walker sejak 13 tahun lalu menghentikan penggambaran buat seketika bagi memikirkan perjalanan seterusnya buat filem ini.

Ia kini bakal diriliskan pada 10 April 2015.

Usah segan bicara pendidikan seks


Kurangnya pendedahan terhadap pendidikan seks menyebabkan kebanyakan remaja yang terbabit dengan aktiviti seks bebas tidak begitu mengambil berat berkaitan isu perlindungan.

Sampai sekarang, persoalan berkaitan seks dianggap tabu dan tidak boleh dibicarakan secara terbuka. Malah ada sebahagian ibu bapa mengelak apabila anak bertanyakan mengenai perkara itu. 

Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi KPJ Ampang Puteri, Dr Ariza Mohamed, pendidikan seks bukan digunakan untuk mengajar anak melakukan hubungan kelamin sebelum waktunya sebaliknya ia bertujuan memberi pendedahan berkaitan anggota badan sendiri dan bahagian yang boleh dan tidak boleh disentuh orang luar. 

“Seharusnya ia dilakukan sejak kecil dengan memperkenalkan anak kepada organ reproduktif penting menggunakan istilah sebenar bukan sekadar bahasa kiasan.

“Ia langkah penting perlu dilakukan ibu bapa bagi mengelakkan pelbagai kemungkinan tidak diingini di kemudian hari nanti,” katanya.

Disebabkan tidak memiliki pengetahuan berkaitan kesan yang boleh berlaku apabila menjalinkan hubungan kelamin tanpa perlindungan, ramai remaja perempuan khususnya berhadapan situasi mengandung luar nikah. 

Apabila ia berlaku dan jika tidak mendapat sokongan membuatkan mereka memilih untuk menyembunyikan kehamilan, menggugurkannya, membuang atau membunuh bayi yang dilahirkan itu. 


Antara risiko boleh dialami remaja hamil bawah umur: 

• Tidak mampu melanjutkan pengajian disebabkan kehamilan. 

• Mengandung pada usia terlalu awal boleh menyebabkan risiko kesihatan tertentu. 

• Berhadapan tekanan psikologi yang teruk. 

Dr Ariza berkata, hubungan kekeluargaan yang renggang juga menjadi pendorong utama remaja terbabit pelbagai aktiviti tidak sihat dan memudaratkan. 

Jalan penyelesaian termudah apabila remaja berkenaan mencari ‘perlindungan’ dan perhatian bersama rakan. 

“Keadaan persekitaran kini membuatkan cabaran membesarkan anak seolah-olah menjadi bebanan yang cukup besar bagi ibu bapa. Ketiadaan masa untuk diluangkan bersama akibat kerjaya sedikit sebanyak mengganggu perhatian serta tumpuan pada anak,” katanya. 

Selain itu, jika hubungan kelamin yang dilakukan tanpa sebarang perlindungan, remaja berkenaan berdepan dengan masalah penyakit jangkitan disebabkan kegiatan seksual (STD). 


Terdapat beberapa jangkitan boleh berlaku iaitu: 

• Virus Herpes Simplex (HSV) 

Ia sejenis virus yang menjangkiti alat kelamin wanita akibat hubungan seksual berbilang pasangan. Virus ini tidak dapat dihapuskan secara keseluruhan kerana selepas rawatan antivirus diberikan, ia akan ‘bersembunyi’ dalam saraf dan hanya muncul kembali apabila sistem imun badan menjadi rendah. 

• Gonorrhea 

Ia disebabkan bakteria Neisseria gonorrhea dan menyerang alat kelamin wanita. Pesakit akan mengalami nanah berbau busuk yang keluar dari kemaluan dan menyebabkan faraj dalam keadaan radang serta sakit. 


• Human Immunodeficiency Virus (HIV) 

Ia sejenis virus yang menyerang sel darah putih dalam tubuh. Apabila sel darah putih dijangkiti virus HIV, ia akan pecah dan hancur. 

Lama-kelamaan jumlah sel darah putih yang menjadi benteng kepada daya ketahanan badan ini makin berkurangan dan mendedahkan individu berkenaan kepada jangkitan kuman. 


• Chlamydia trachomatis 

Ia menyerang alat kelamin wanita membabitkan organ peranakan dalam tubuh serta merosakkan salur fallopio. Keadaan ini boleh menyebabkan wanita terbabit sukar mendapat anak kelak. 


Bagi memberi pendedahan kepada remaja berkaitan isu ini, beliau turut turun padang dan bekerjasama dalam program penerangan reproduktif yang dijalankan pihak hospital. 

Matlamat utama adalah mendekati pelajar remaja dan memberikan penjelasan sebaik mungkin terutama membabitkan pendidikan seksual. 

Antara aktiviti adalah aktiviti berkumpulan membabitkan jururawat bersama pelajar. Pelbagai persoalan peribadi boleh diajukan kepada jururawat membabitkan pelbagai isu tetapi kebanyakannya berkisar kepada sistem reproduktif manusia. 

“Seharusnya program sebegini dianjurkan secara berterusan kerana remaja perlu didedahkan dengan sebaik mungkin sejak awal. Mereka perlu diberitahu kesan yang boleh berlaku sekiranya terbabit dengan hubungan seksual pada usia muda,” katanya. 

Remaja perempuan perlu mengetahui masalah kesihatan yang boleh dialami sekiranya hamil di usia muda. Antaranya: 

• Berhadapan risiko pengecutan rahim pramatang kebiasaannya pada usia kandungan tujuh atau lapan bulan. 

• Lebih berisiko menghadapi masalah anemia. 

• Menghadapi masalah ketika melahirkan bayi disebabkan keadaan rahim serta tulang pinggul yang belum matang pembentukannya. 

• Berisiko menghidap darah tinggi ketika hamil. 


Fakta: 

• Sebelum baligh, saiz rahim wanita lebih kurang sebesar buah jambu air, kemudian sesudah baligh ia membesar kira-kira saiz buah pir. 

Pada saat ini, kilang telur mula aktif dan mengeluarkan hormon penting untuk wanita iaitu estrogen dan progesteron.