HELLO AND HAVE A NICE DAY
Powered by Blogger.

26 Mar 2014

Kenapa Lenovo Begitu Glamor Sekarang?


Jika dahulu jenama Lenovo agak kurang dikenali. Namun sejak kebelakangan ini, ia semakin disebut-sebut dan dicari. Kami rasa mereka patut berterima kasih atas kemunculan rangkaian telefon pintarnya, yang berjaya mengalih pandangan pengguna mudah alih kepada jenama ini.

Kemunculan model K900 pada tahun lalu merupakan titik keglamoran Lenovo dalam industri telefon pintar negara ini. Meskipun sebelum ini sudah ada beberapa model dalam siri lain diperkenalkan, namun hanya sehingga tahun lalu ia benar-benar diketahui. Mungkin ia kerana rangka promosinya dan boleh jadi juga kerana spesifikasi yang didatangkan pada telefon ini. 

K900 dilengkapi kamera utama 13 mega piksel yang menjadikan kualiti gambar terbaik dan skrin multi-sesentuh berdefinisi penuh (HD). Mulanya ramai pengguna agak goyah dengan jenama ini sebagai sebuah telefon pintar, namun persepsi nyata berubah apabila Lenovo berjaya menampilkan telefon pintar yang mampu menjimatkan tenaga bateri meskipun dengan penggunaan data berterusan dan dijual pada harga mampu milik. Jika tanya kami, ia satu ciri penting yang perlu dipandang.

Ini disertai dengan P780, telefon Dual Sim dengan paparan 5 inci IPS dan model-model siri S iaitu S660, S850 dan S860. Jika dibuat perbandingan di antara kesemuanya, masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. Lenovo mengeluarkan model ini berdekatan untuk memberi peluang kepada pengguna memiliki telefon mengikut bajet dengan sedikit perbezaan spesifikasi.

Kini, glamornya berterusan dengan kemunculan Lenovo Vibe Z di pasaran. Lenovo Vibe Z, ringan dan nipis tanpa menjejaskan prestasi. Ia dilengkapi teknologi canggih telefon pintar Qualcomm Snapdragon 800 Quad-core 2.2GHz, 2GB memori dan 16 GB storan binaan dalaman. Rekaan elit skrin multi-sesentuh seluas 5.5 inci definisi penuh yang menggunakan platform Android 4.3 ini bakal menemui peminatnya tidak lama lagi.

Faktor glamor yang tidak boleh diketepikan juga ialah tawaran harganya. Model-model telefon pintar Lenova ditawarkan pada harga serendah RM400 hinggalah ke RM1,700 mengikut model pilihan. Dengan rupa seakan Note, nipis ala HTC, aplikasi kemas persis iPhone dan jimat bateri, ini adalah sebab kenapa ia begitu glamor. Itu yang kami rasakan, dan kami rasa itu juga yang difikirkan pengguna sekarang ini.

Lenovo K900